Bank Negara: Sektor Perbankan Berkedudukan Baik Buat Penilaian Pinjaman Di Bawah Skim Rumah Pertamaku

Shares

Sektor perbankan berkedudukan baik untuk membuat penilaian kemampuan dan kepercayaan kredit peminjam di bawah “Skim Rumah Pertamaku”.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata tiada risiko kepada kualiti pinjaman isi rumah daripada skim itu kerana tumpuan adalah bagi kemampuan.

“Pengesahan kemampuan adalah sangat penting dan bagi sektor perbankan ia berkedudukan baik untuk membuat penilaian, dan ia juga tahu pendedahan kredit peminjam,” katanya.

Zeti berkata demikian pada taklimat media mengenai pengeluaran Laporan tahunan 2010 BNM dan Laporan Sistem Pembayaran dan Kestabilan Kewangan 2010, di sini, Rabu.

Menurutnya, terdapat ramai golongan muda yang mempunyai jaminan kerja, prospek dan arus pendapatan yang baik, kombinasi suami dan isteri, yang layak untuk memeterai perjanjian pinjaman bagi membeli hartanah di bawah skim tersebut.

Di bawah skim tersebut, golongan muda yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan boleh mendapat pembiayaan 100 peratus untuk membeli rumah yang menelan kos antara RM100,000 dan RM220,000 dengan tempoh pembayaran semula sehingga 30 tahun, katanya.

Mengenai garis panduan berian pinjaman kepada bank-bank bagi hutang isi rumah, Zeti berkata, ia akan diperkenalkan tidak lama lagi kerana BNM telah mengeluarkan kertas konsep.

Zeti berkata garis panduan itu tidak dikeluarkan sekarang kerana institusi perbankan perlu menyediakan mekanisme dalam sistem mereka untuk memudahkan garis panduan baharu dan pada masa yang sama tidak menyebabkan sebarang kelewatan dalam memproses pinjaman.

Beliau menjangka garis panduan itu diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini.

– BERNAMA

About the Author Zulhisham Gohartanah

Beliau merupakan ejen hartanah berdaftar yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun. Kini beliau menjadi prinsipal di agensi Ireal Property Sdn Bhd yang beroperasi di Persint 15 Putrajaya. Beliau adalah pengasas Bloghartanah.com dan Gohartanah.com

Leave a Comment: