Tiada Pembaharuan Pajakan Tanah Automatik, Kata Awang Tengah

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, hari Isnin memperjelaskan bahawa pajakan tanah tidak diperbaharui secara automatik dan pemilik tanah perlu mengemukakan permohonan untuk memperbaharuinya.

Memperjelaskan laporan Bernama yang memetik beliau sebagai berkata Sarawak menawarkan pembaharuan tanah pajakan secara automatik, Awang Tengah berkata Sarawak atau mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Selangor dan Pulau Pinang, tidak menawarkan pembaharuan automatik.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei menjalankan kajian perbandingan berhubung amalan pembaharuan tanah pajakan di Selangor dan Pulau Pinang pada September 2010.

“Hakikatnya tidak ada perkara seperi pembaharuan automatik, tidak juga di Selangor atau Pulau Pinang atau negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pemilikm tanah perlu mengemukakan permohonan untuk memperbaharui tanah pajak,” katanya dalam kenyataan.

Katanya pemohon di Sarawak perlu memohon pembaharuan dengan menggunakan borang khusus, sama seperti di Pulau Pinang dan Selangor, dengan syarat tanah berkenaan tidak diperlukan untuk tujuan pembangunan oleh kerajaan atau penggunaan tanah berkenaan tidak bercanggah dengan syarat hak milik.

“Permohonan untuk pembaharuan tanah pajak boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh pajakan. Sekiranya permohonan dibuat selepas tamat tempoh pajakan, tidak ada penalti dikenakan,” kata Awang Tengah, yang juga Menteri Kemudahan Awam Sarawak.

Bagaimanapun, bagi Selangor dan Pulau Pinang, penalti dikenakan sekiranya permohonan dibuat selepas tamat tempoh pajakan.

Di Selangor, jumlah penalti adalah berdasarkan RM200 setahun serta bayaran sewa tanah semasa kali dengan tempoh pendudukan tanah berkenaan.

Di Pulau Pinang, sekiranya permohonan dibuat selepas tamat tempoh pajakan, penalti akan dikenakan berdasarkan bayaran TOL (Lesen Pendudukan Sementara) dari tarikh tamat sehingga tarikh pembaharuan diluluskan.

– BERNAMA

About the Author Zulhisham Gohartanah

Beliau merupakan ejen hartanah berdaftar yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun. Kini beliau menjadi prinsipal di agensi Ireal Property Sdn Bhd yang beroperasi di Persint 15 Putrajaya. Beliau adalah pengasas Bloghartanah.com dan Gohartanah.com

Leave a Comment: