Perkembangan industri hartanah di bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Bangi, Petaling Jaya, Damanasara dan yang terbaru Semenyih hingga Beranang terus rancak dalam situasi ekonomi semasa. Walaupun ekonomi dunia agak perlahan, namun permintaan sektor hartanah kategori sub-sale terus menjadi pilihan.
Bagi memastikan perkembangan industri hartanah berada pada landasan yang baik, ejen hartanah dipertanggungjawap bagi membantu orang ramai dalam urusan jual-beli, sewa, pajakan dan sebagainya. Ejen hartanah yang dimaksudkan adalah ejen yang telah berdaftar dengan Lembaga Penilai, Penaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH) di bawah Undang-Undang Penilai, Penaksir dan Ejen Hartanah (akta 242).
Profesional Fi Ejen Hartanah
Dalam pasaran sub-sale, pihak pembeli atau penjual berhak melantik ejen hartanah masing-masing bagi menjaga kepentingan dalam transaksi jual-beli nanti. Sehubungan dengan itu, profesional fi perlu dibuat bagi pihak yang melantik ejen hartanah iaitu 3% daripada harga jualan seperti di Jadual Ketujuh Akta 242. Kebiasaanya pada hari ini, pihak penjual yang banyak melantik ejen hartanah bagi menjual rumah dan terlalu sedikit pihak pembeli yang menggunakan khidmat ejen.
Ejen hartanah merupakan pihak ketiga yang mempunyai kepakaran dalam urusan jual-beli rumah, sewa dan pajakan. Dengan menggunakan khidmat ejen, maka kepentingan pihak pembeli atau penjual dapat dijaga dengan baik dan perkara-perkara tidak diingini dapat dielakkan.
Di dalam Jadual Ketujuh, ejen hartanah tidak boleh mengenakan caj melebihi 3% daripada harga jualan. Selain itu, ejen hartanah tidak boleh mewakili pihak pembeli dan penjual pada waktu yang sama bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Bagi pembeli yang tidak bercadang melantik ejen hartanah, anda masih boleh memastikan proses pembelian rumah dalam keadaan selamat dengan berurusan dengan penjual yang melantik ejen hartanah. Dengan ini risiko penipuan atau transaksi yang tidak selamat dapat dielakkan.
Nota : Layari Gohartanah Apps (GAPPS) bagi kalkulator mengira Fi Ejen Hartanah. GAPPS juga menyediakan kalkulator bagi Kos Guaman, Duti Setem Pindah Milik & Sewaan dan sebagainya.