Persoalan di bawah dikirim oleh seorang pelabur hartanah iaitu Tuan Arif Muazzim.
ada tak larangan dalam etika ejen hartanah supaya ejen tak boleh mencadangkan peguam SPA
Ejen hartanah adalah satu bidang kerjaya yang dipantau sepenuhnya oleh Lembaga Penilai Penaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH). Akta Penilai Penaksir dan Ejen Hartanah (242) merupakan rujukan utama bagi setiap ejen hartanah di Malaysia.
Tugas utama ejen hartanah adalah berkaitan transaksi jual, beli, sewa atau pajakan. Perkara selain daripada itu adalah nilai tambah bagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada penjual atau pembeli.
Sebagai contoh transaksi jual beli rumah, ejen hartanah akan mulakan tugas apabila mendapat arahan daripada pemilik rumah. Ejen hartanah akan menasihati pemilik rumah daripada segi penetapan harga jualan, prosedur jual beli, kos pelupusan harta dan sebagainya.
Tugas ejen hartanah selesai apabila pihak pembeli dan penjual telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA). Seterusnya pihak peguam akan menguruskan penjualan sehingga rumah tersebut dipindahmilik kepada pembeli.
Pada pendapat saya tidak menyalahi etika ejen hartanah sekiranya mencadangkan peguam samada SPA atau perjanjian pembiayaan. Ini boleh dikatakan nilai tambah kepada perkhidmatan yang diberikan.
Mungkin ejen tersebut mempunyai alasan sendiri tidak mencadangkan peguam.
Antara impak apabila ejen hartanah mencadangkan peguam, ejen hartanah akan dipersalahkan apabila perkhidmatan peguam tidak memuaskan. Daripada sudut ejen hartanah, mungkin ini akan menganggu produktiviti pada kemudian hari.
Saya cadangkan sekiranya perlukan khidmat peguam, cuba hubungi ejen hartanah yang lain. Insyallah ada ejen yang akan membantu.