Elak Beli Rumah Dari Pemilik Bankrupt

Entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman pembeli yang pernah terbeli rumah daripada pemilik bankrup.

Walaupun perkara itu berlaku pada tahun 2008 tetapi dari riak wajah klien ini seperti baru berlaku. Mana tidaknya, kerugian lebih dari RM30 Ribu. Berapa tahun punya simpanan tetapi habis begitu sahaja.

Belum dikira lagi tekanan yang dihadapi bertahun-tahun bagi memastikan rumah tersebut dapat juga dibeli. Akhirnya terpaksa berputih mata apabila dari tahun ke tahun tiada petunjuk rumah ini boleh dipindahmilik.

Pengalaman Ngeri

Walaupun mempunyai pengalaman ngeri sebelum ini, klien membuat keputusan untuk mencari rumah lain. Lagi ditunggu lagi naik harga rumah. Pada 2008, rumah teres 2 tingkat sekitar harga RM 280 Ribu, tapi pada tahun ini harga telah melebihi RM 400 Ribu.

Setelah hilang kepercayaan terhadap peguam cara yang pertama, klien melantik peguam kedua dan seterusnya yang ketiga. Dipendekkan cerita, rumah yang dibeli sebelum ini memang sukar untuk dibeli kerana melibatkan pelbagai pihak antaranya Jabatan Insolvensi Malaysia.

Tentunya ada prosedur ketat yang perlu dilalui sekiranya pemilik ingin menjual rumah. Berdasarkan pengalaman sendiri pada tahun lepas, saya terpaksa mengambil langkah produktif dengan berbincang dengan pemilik rumah dan pembeli agar menamatkan proses jual beli.

Pertama, kerana pemilik rumah tidak memberitahu lebih awal kerana beliau telah bankrup. Kedua, draf SPA masih tidak belum nampak bayang-bayangnya kerana pelbagai kelulusan yang perlu diperolehi oleh Jabatan Insolvensi Malaysia setelah 6 bulan berlalu.

Strategi Membeli

Dalam mengelakkan perkara ini berlaku. Ada beberapa strategi atau kaedah yang perlu dilakukan.

Pertamanya melantik peguam cara yang terbaik. Ini perkara wajib bagi setiap pembeli. Peguam yang proaktif akan mengurangkan pening kepala anda. Jangan asyik minta diskaun sahaja tapi servis nak pantas.

Masalah ini dapat dielakkan apabila peguam membuat Carian Bankrup terlebih dahulu sebelum tandatangan SPA. Sekiranya selepas carian keputusan adalah positif bankrup, tarik diri awal-awal.

Keduanya, cuba mohon pinjaman daripada 2-3 bank. Ini kerana ada bank yang tengok CTOS pemilik rumah. Sekiranya ada masalah besar pinjaman tidak akan diluluskan. Nampak seperti tidak baik tetapi ia sebenarnya memberitahu anda bahawa rumah tersebut ada masalah.

Tidak ada alasan bagi yang tiada pengalaman membeli rumah. Walaupun pengalaman tiada, banyak buku-buku atau bertanya dengan kawan yang mempunyai pengalaman. Selain itu juga, ejen hartanah yang berpengalaman juga dapat membantu anda dalam membeli rumah impian anda.

Selamat berjaya.

About the Author Zulhisham Gohartanah

Beliau merupakan ejen hartanah berdaftar yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun. Kini beliau menjadi prinsipal di agensi Ireal Property Sdn Bhd yang beroperasi di Persint 15 Putrajaya. Beliau adalah pengasas Bloghartanah.com dan Gohartanah.com

Leave a Comment: